>

Thursday, 21 June 2018

14 Days in Khazakhstan - Muzium Tradisional & Perpustakaan Yang Membosankan


Bab 5


Tiba di South Kazakhstan State University (SKSU), kehadiran kami menjadi perhatian ramai. Mungkin disebabkan penampilan aku dan Azwa yang bertudung, kerana kami merupakan satu-satunya yang bertudung disana berdasarkan pengamatanku. Atau mungkin juga kerana penampilan Eifa yang begitu menawan dan menonjol berbanding kebanyakan warga universiti itu. Atau mungkin juga disebabkan wajah kami yang agak berbeza dengan wajah penduduk Kazakhstan yang membuatkan perhatian mereka beralih sepenuhnya kepada kami bertiga. Sama seperti wajah keluarga angkat kami disana, kebanyakan daripada warga SKSU mempunyai raut wajah seiras kaum Korea, Cina atau Jepun. Namun, kelihatan juga sebahagian kecil daripada mereka yang berwajah menyerupai bangsa Eropah.

Usai bergambar di sebuah tugu di hadapan universiti seperti yang dipinta pensyarah kami di UNISEL, Aika membawa kami masuk ke dalam bangunan universiti dan terus menuju ke bilik mesyuarat yang terletak di tingkat dua bangunan pentadbiran. Seorang pemuda berpakaian kasual yang berdiri di hadapan pintu bilik mesyuarat tersebut menyapa kami dengan senyuman ramahnya.

Setelah diperkenalkan dengan beberapa orang staf yang terlibat dalam program Summer School tersebut oleh Prof Ordabay, rektor universiti yang menjemput kami di lapangan terbang semalam, kami diberi sebuah fail biru yang mengandungi tentatif program, buku catatan dan pen, tag nama, dan nota mengenai bahasa penggunaan harian Kazakhstan berserta maksudnya. Seorang staf perempuan meminta passport dan kertas bersaiz A5 yang kami ambil di lapangan terbang kemarin untuk dicop oleh pihak universiti. Mujur kami membawa kertas tersebut walaupun pada asalnya kami langsung tidak faham akan keperluan kertas yang kelihatan tidak penting itu -- disepah-sepah di lantai airport, nampak macam tak penting kan? 

Kemudian, sesi pembelajaran bahasa terus bermula. Membaca perkataan yang ditulis dalam tulisan Cyrillic walaupun telah ditukarkan kepada tulisan Rumi bukanlah sesuatu yang mudah. Ini kerana perkataan yang ditulis tidak semestinya akan berbunyi seperti perkataan itu. Dua jam berlalu, akhirnya pada akhir pembelajaran yang aku dapat ingat dengan jelas hanyalah dua perkataan, iaitu rahmet yang bererti terima kasih, dan juga saleym iaitu tanda sapaan seperti Assalamu’alaikum. Itupun kerana itu adalah perkataan yang paling common, jadi wajar untuk dihafal sekurang-kurangnya pada sesi pembelajaran pertama.

Selesai kelas, lelaki yang menyapa kami dihadapan pintu bilik mesyuarat tadi pun memperkenalkan dirinya sebagai Sheikh Islam, atau lebih mesra disapa sebagai Islam. Orangnya segak, persis pelakon Thailand Mario Maurer, dan lebih charismatic berbanding kebanyakan yang kami jumpa sepanjang kurang sehari disini. Melalui penampilannya yang kelihatan matang, aku menganggarkan umurnya mungkin sekitar 25 tahun.

Islam, Aika berserta seorang pensyarah perempuan membawa kami melawat di sekitar bangunan universiti tersebut. Universiti yang memfokuskan bidang sains dan teknologi ini berusia lebih kurang 70 tahun dan menawarkan pembelajaran diperingkat sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah. Disebabkan lawatan kami adalah pada cuti musim panas, jadi tiada sesi pembelajaran diadakan. Namun, kawasan kampus itu dipenuhi dengan para pelajar yang sedang mengambil peperiksaan khas, seperti yang dikatakan Islam. Tidak pula aku bertanya dengan lebih lanjut tentang peperiksaan itu.

Kami kemudiannya melawat di kawasan luar kampus pula. Kawasan kampus tersebut dibina secara terbuka tanpa pagar, tidak seperti kebanyakan universiti di Malaysia yang mempunyai pagar untuk membezakan kampus dan kawasan luar. Terdapat taman-taman kecil di sekitar kawasan kampus mewujudkan suasana tenang dan sejuk untuk merehatkan minda. Suhu terasa begitu berbeza apabila berada di tengah kawasan lapang panas berbanding apabila masuk di bahagian taman. Terasa nyaman sekali udaranya. Aku dan Azwa menyuarakan pendapat kami mengenai suhu yang nyaman itu, lantas membuatkan Islam terkejut.

You said this is cold? For me this can be considered as a very hot weather,” ujarnya sambil mengipas-ngipas wajahnya yang jelas kelihatan kepanasan.

You should come to Malaysia then,” aku membalas perlahan, enggan berbahas. Aku teringatkan cuaca di Malaysia pada musim El Nino dan jerebu yang memang tidak terasa nyaman walaupun kita berteduh di dalam kawasan taman.

Kemudian kami dibawa ke dataran berhadapan pintu masuk bangunan universiti untuk menunggu van yang akan membawa kami ke Ethnomuseum, seperti perancangan yang telah disusun di dalam tentatif.

Beberapa minit kemudian, van sedia untuk bertolak. Kami masuk mengambil tempat duduk masing-masing sebelum van bergerak menuju ke destinasi. Kulihat keadaan di dalam van tersebut kelihatan usang dan uzur. Design dalamannya berbeza dengan van yang biasa kita lihat di Malaysia. Sebahagian kerusi menghadap satu sama lain, manakala sebahagian pula menghadap ke hadapan. Terdapat juga satu tiang kecil di dalam van tersebut yang menjadi tempat berpaut bagi orang yang berada di tengah-tengah. Tiang tersebut telah lekang di bahagian bawah yang menjadikannya tidak bercantum dengan lantai van. Jadi, sewaktu pemandu van tersebut membrek secara mengejut aku pun memaut secara reflex pada tiang tersebut dan tiang tersebut pun bergoyang-goyang seperti hendak tercabut. Mahu saja kami bertiga ketawa tapi mujur kami sempat menahan diri bagi menghormati pihak tuan rumah.

Perjalanan yang memakan masa lebih kurang satu jam itu kami manfaatkan dengan berkenalan dengan lebih lanjut dengan Islam. Melihatkan gayanya yang matang membuatkan kami begitu terkejut apabila mengetahui dia baru berusia 21 tahun, iaitu lebih muda daripada kami bertiga. Malah, dia juga mempunyai dua ijazah seingatku, melainkan aku hanya salah faham memandangkan perbualan kami kadang-kala seperti ayam dan itik. Selepas mengetahui kedua-dua Aika dan Islam adalah lebih muda daripada kami membuatkan kami terasa kerdil. Manakan tidak, mereka kelihatan begitu berdikari dan matang lebih daripada kami. Mungkin budaya mereka mendidik mereka menjadi begitu, fikirku.

*******

Kedatangan kami ke Ethnomuseum disambut oleh seorang lelaki berumur lingkungan lima puluhan. Pakcik tua tersebut memakai baju seakan-akan jubah berserta sebuah topi. Mungkin pakaian tradisional mereka, telahku. Aku, Azwa dan Eifa mengambil peluang ini untuk mempraktikkan bahasa Kazakhstan yang telah kami pelajari di dalam kelas tadi dengan mengucapkan ‘Saleym’ kepada pakcik tersebut. Dia tersenyum menyambut salam kami.

Tanpa membuang masa, pakcik tua itu terus mempelawa kami masuk ke dalam kawasan Ethnomuseum tersebut. Di sini, Islam menjadi juru bahasa kami menggantikan tugas yang selalu diambil Aika. Menurut Islam, pakcik itu merupakan penjaga muzium tersebut. Kelihatan sebuah rumah kecil berbumbung rendah yang terus mengingatkanku akan rumah dwarf di dalam cerita fantasi, tetapi sebenarnya rumah tersebut tidakla sebegitu kecil. Tingkapnya pula dicat menggunakan warna coklat sedikit gelap dengan dinding yang berwarna tanah, dan di hadapannya terdapat sebuah pohon kecil menambahkan lagi kecomelan rumah tersebut. Design tersebut entah kenapa terus mengingatkan aku pada seni bina bangunan di Santorini, Greece, iaitu salah sebuah destinasi di dalam travel list aku. Wajahku tenang memendam keterujaan yang terlampau.

Bertentangan dengan rumah comel itu terdapat sebuah binaan kecil berbentuk silinder dengan bumbung berbentuk kon. Ia diperbuat daripada susunan batu bata yang disimen, tanpa dilapisi simen di bahagian luarnya, menjadikan binaan tersebut seperti belum siap sepenuhnya. Terdapat sebuah pintu yang membawa kepada ruang bawah tanah. Lalu pakcik tersebut membawa kami turun ke ruang bawah tanah itu.

Menurut pakcik tersebut ( melalui penterjemahan Islam kerana pakcik itu tidak boleh berbahasa Inggeris ), ruang bawah tanah itu dibina oleh pakcik itu sendiri. Ini sangat mengujakan kerana ruang tersebut agak dalam dan tangga yang dibina untuk turun ke bawah juga agak curam dan sempit. Binaan yang ringkas dan tidak terlalu kemas jelas menunjukkan ia bukan binaan pakar. Terdapat beberapa ruang kecil seperti bilik-bilik di dalam ruang bawah tanah tersebut. Aku berasa kagum dengan semangat dan usaha pakcik tua itu untuk mewujudkan muzium ini dengan membinanya sendiri.

Ruang bawah tanah tersebut dibina menggunakan tanah liat, membuatkan suhu di dalamnya terasa agak dingin. Tentunya enak untuk tinggal di bawah ini dimusim panas. Terdapat pelita-pelita kecil yang dipasang oleh pakcik tua tersebut untuk menerangi ruang yang gelap itu. Kemudian kami diminta duduk membentuk bulatan, lalu pakcik tua itu mula memberi ceramah mengenai cinta. Barulah aku tahu bahawa ruang tersebut diberi nama Ground of Love. Katanya, setiap agama dibolehkan untuk datang kesini untuk beribadat. Ini kerana tempat tersebut dibina atas dasar cinta, dan beribadat merupakan tanda cinta kita kepada Tuhan. Interesting, kan? Lama juga kami diberi ceramah mengenai cinta, termasuk juga cinta kepada manusia dan alam. Kemudian kami diberi minum air sejuk dari dalam tembikar. Rasanya begitu ‘natural’ seperti air bawah tanah. Selesai ceramah, pakcik tua itu mengangkat tangan mendoakan di dalam bahasa Kazakhstan. Namun, telingaku dapat menangkap beberapa ayat lazim Al-Quran yang diselitkan di dalam doanya.

Kemudian, kami keluar dari ruang bawah tanah tersebut, dan dibawa pula masuk ke dalam rumah comel yang kulihat tadi. 'Rumah' tersebut hanya mempunyai satu ruang. Ternyata ianya bukanlah sebuah rumah, tetapi sebuah bilik muzium yang menempatkan barisan hasil tangan yang diperbuat daripada tanah liat di bahagian tepi ruang tersebut. Pelbagai pasu, tembikar, mangkuk, dan cawan dengan ukiran unik masing-masing disusun rapi. Terdapat juga tiga buah bangku panjang yang semuanya menghadap ke bahagian tengah ruang itu. Di tengah-tengah ruang itu terletak sebuah alat yang aku teka sebagai alat membuat pinggan mangkuk menggunakan tanah liat berdasarkan rupanya yang lebih kurang sama dengan yang sering kulihat di kaca televisyen. Kelihatan juga alat-alat muzik tradisional yang tergantung di dinding muzium itu dan sebuah alat pembakar tradisional yang aku agak digunakan untuk membakar tanah liat yang telah siap diukir dibina di kanan ruang tersebut. Semuanya begitu tradisional.

Pakcik tersebut kemudiannya mengeluarkan alat muzik yang berbentuk seperti gitar. Dombra namanya, iaitu sebuah alat muzik tradisional Kazakhstan. Menurut bacaanku di dalam internet, di dalam setiap rumah orang Kazakhstan harus mempunyai sekurang-kurangnya seorang ahli yang pandai bermain dombra. Dombra merupakan elemen penting di dalam sebuah rumah, dimana seolah-olah tidak bermakna rumah tanpa muzik dombra bagi masyarakat Kazakhstan. Namun, tradisi tersebut mungkin sudah mulai luput ditelan zaman berdasarkan pengamatanku kerana rumah yang kami diami juga tidak kelihatan sebuah dombra di dalamnya. Malah, gaya hidup mereka juga moden, tidak seperti dombra yang kelihatan begitu tradisional.

Selepas bermain dombra, pakcik tua tersebut mula mengeluarkan pelbagai jenis alat muzik yang lain dan memainkannya. Aku tidak mampu untuk mengingati kesemua jenis alat muzik tersebut. Ada yang perlu ditiup, ada yang dipetik seperti gitar, dan ada yang seperti gendang. Beliau juga membuat kraftangan menggunakan kertas yang digunting-gunting menjadi bentuk yang berbeza dan diberi kepada kami bertiga. Aku mendapat ukiran menyerupai wanita yang di dalam badannya terdapat  sekuntum bunga. Penuh makna.

Dalam masa yang sama, ditengah-tengah ruang tersebut seorang lelaki muda sedang membuat tembikar kecil menggunakan alat yang tersedia. Siap tembikar tersebut, kami diminta untuk mengukir nama dan negara asal kami di atas tembikar itu. Disebabkan tulisan Azwa yang paling cantik di antara kami bertiga, kami melantik dia untuk mewakili kami bertiga. Tembikar yang telah siap terukir nama kami tersebut kemudiannya dipamerkan di atas rak disamping barisan cawan tanah liat yang lain. Kalau anda kesana bolehla cari nama kami. Glamour okayy haha.

Pulang dari Ethnomuseum tersebut, kami singgah pula ke A.S.Pushkin library yang terletak di bandar Shymkent. Perpustakaan tersebut agak besar, tetapi tidak dapat menandingi keluasan dan kecantikan Perpustakaan Raja Tun Uda di Shah Alam. Jadi, tiada perkara yang membuatkan kami teruja mengenai perpustakaan itu. Malah, fizikal yang keletihan dan perut yang berkeroncong kelaparan membuatkan kami berasa ingin saja menjerit meminta lawatan itu segera dihentikan. Rasa kebosanan yang melampau itu masih segar diingatanku hingga sekarang. Huhu. Begitu menyeksakan.

Keluar dari perpustakaan besar tadi, Ersultan terus memecut kereta ke restoran berhampiran. Kami dibawa ke sebuah restoran dengan interior design yang kelihatan agak mewah. Kami memilih meja di tepi tingkap yang kerusinya adalah sofa berbaldu biru tinggi seperti kerusi pengantin yang selalu kita lihat di Malaysia. Pelbagai jenis makanan dipesan hingga meja menjadi begitu penuh. Antara hidangannya ialah khattama, sejenis makanan persis roti canai kita, mante iaitu makanan berbentuk seperti pau dengan inti daging dan lada hitam, pilmini iaitu makanan tradisional Rusia yang dihidangkan sebagai sup dan dumpling, langman iaitu makanan tradisional masyarakat Ulgur yang kelihatan seperti mee goreng, dan juga acicuk, iaitu salad biasa yang terdiri daripada tomato, bawang dan hirisan cili. Walaupun begitu lapar, tetapi kami kurang selera untuk makan disebabkan perut telah dimasuki angin. Mujur mereka membungkuskan lebihan makanan yang begitu banyak itu. Jika tidak, pasti akan jadi terlalu membazir.

Setibanya di rumah, kami berasa sangat letih dan begitu ingin rehat. Namun, sebuah panggilan telefon telah membantukan niat kami itu.


No comments:

Post a Comment