Bab 4
Matahari menjelma dan pagi pun tiba.
Rasa kerterujaan membuat segar mataku pagi itu walaupun kekurangan tidur pada malamnya. Masakan tidak, aku kini berada di bumi Kazakhstan, beribu batu jauhnya dari negara asalku. Setelah berbulan-bulan menunggu dan bergelut dengan emosi setiap kali berlaku perubahan rancangan, aku kini telah selamat berada di sini. Negara yang begitu asing, persekitaran yang sungguh berbeza. The feeling is surreal.
Membesar di dalam keluarga besar yang sederhana, ayah dan ummi pernah membawa kami bercuti hanya di dua buah negara luar. Kedua-duanya merupakan negara jiran terdekat Malaysia iaitu Thailand dan Singapura. Selebihnya kami dibawa melancong di dalam negara sekali-sekala. Itupun sudah amat menggembirakan kami lapan beradik (terima kasih ayah dan ummi !). Jadi, apabila dapat menjejakkan kaki di negara sejauh ini selama dua minggu dengan separuh tajaan, aku berasa sungguh beruntung. Ini merupakan peluang yang aku tidak pernah sangka akan aku peroleh. Kerana itulah aku berasa teruja dengan segalanya tentang lawatan ini.
Usai mandi dan menyiapkan diri, aku, Eifa dan Azwa turun ke ruang tamu untuk bersarapan. Kelihatan makanan telahpun siap dihidangkan di atas meja di ruang tamu. Buah-buahan, roti, margerin, kepingan keju, mannaya kasha iaitu sejenis bubur sagu, chai iaitu teh dan sparkling water tersedia untuk dijamah. Oh, mungkin inilah keju yang dikatakan oleh Prof Azmuddin sebelum kami datang kesini, fikirku. Menurut Prof Azmuddin, orang Kazakhstan masih ramai yang membuat keju sendiri di rumah mereka. Jadi, rasa keju tersebut tidak sama dengan yang terdapat di Malaysia. Namun, mengikut tekakku, aku lebih menggemari keju yang biasa ku rasa di Malaysia. Berbeza pula dengan Azwa yang merasakan keju itu sangat sedap.
Setelah selesai bersarapan, aku sekali lagi menawarkan untuk membantu mengemas meja dan mencuci pinggan. Namun, sama seperti semalam, sekali lagi tawaranku ditegah keras oleh Aika. Wajahnya juga bertukar serious apabila melarangku. Situasi tersebut membuatkanku terfikir budaya di Malaysia.
Di Malaysia, terutama bagi kaum Melayu, apabila tetamu menawarkan untuk membantu kebiasaannya tuan rumah akan menegah pada awalnya. Namun, kita diajar untuk lebih bertegas mahu membantu tuan rumah. “Takpe, sikit je” adalah dialog yang familiar dalam situasi begini. Lalu kita akan terus membasuh pinggan mangkuk tersebut atau sekurang-kurangnya mengangkat ke dapur. Tuan rumah tidak kelihatan begitu bertegas untuk melarang kita kemudiannya. Melarang hanya sekadar berbasa basi pada mulanya.
Berbeza dengan di Kazakhstan, mereka betul-betul melarang dengan wajah yang amat tegas. Menurut Aika, budaya di Kazakhstan tidak membenarkan tetamu untuk melakukan sebarang kerja rumah. Malah, ia juga boleh dikira sebagai penghinaan kepada tuan rumah jika membiarkan tetamu membuat kerja kerana seolah-olah tuan rumah tidak mampu memberi layanan terbaik kepada tetamu. Dalam rasa kurang enak membiarkan tuan rumah membuat semuanya untuk kami, aku tidak dapat menafikan rasa gembira memikirkan hidup kami akan menjadi seperti princess selama sepuluh hari tinggal di rumah ini. Heheeee...
Selesai bersarapan, kami bertolak ke universiti yang berkolaborasi dengan universiti kami bagi menganjurkan program Summer School ini. Kereta milik keluarga angkat kami dipandu oleh Ersultan. Di sebelahnya duduk Aika yang setia menemani kami kemana sahaja disamping menjadi penterjemah bahasa. Oleh kerana penguasaan Bahasa Inggeris yang lemah bagi kebanyakan penduduk Kazakhstan, maka kami hampir sentiasa memerlukan penterjemah untuk menjalani urusan harian. Kami bertiga pula mengambil tempat duduk di bahagian belakang Volkswagen sedan hitam itu.
Kereta dipacu laju membelah lorong-lorong di kawasan perumahan tersebut sebelum memasuki jalan raya. Beberapa kali kami terhimpit ke tepi dan kadang kala terdorong ke hadapan disebabkan inertia apabila kereta berhenti secara mendadak. Beberapa kali juga kami bertiga saling bertukar pandang tanda terkejut dengan kelajuan yang dibawa Ersultan; terlalu bahaya pada pandangan kami yang tidak biasa dengan gaya pemanduan tersebut di Malaysia. Berbeza dengan Aika yang kelihatan begitu tenang menikmati lagu yang berdentum dari speaker kereta sambil menggerakkan badan dan kepalanya perlahan-lahan mengikut rentak muzik.
No comments:
Post a Comment