Bab 8
Jalan kampung berdebu di
Karabulak menjadi saksi tiga pasang baju tradisional Melayu telah digayakan oleh
tiga orang gadis yang sedang berjalan kaki menuju ke rumah ‘kenduri’, sambil
menikmati ais krim susu lembu segar yang dibeli ditepi jalan. Oh, rasa yang
terlalu creamy dan fresh agak memuakkan membuatkan kami
tidak mahu lagi ais krim tersebut apabila ditawarkan lagi selepas itu.
Seperti yang telah dirancang
sejak dari Malaysia, kami bertiga telahpun membawa baju tradisional Melayu
untuk dipakai pada waktu yang sesuai disana. Jadi apabila mengetahui tentang
majlis ini kami pun bersepakat untuk memakainya. Aku dan Eifa memilih untuk
berbaju kurung, manakala Azwa pula berkebaya.
Setibanya di rumah pengantin
perempuan, kami dibawa naik ke tingkat atas masuk ke dalam sebuah bilik. Di
dalam bilik tersebut pengantin perempuan bersama ibu dan saudara mara mereka
sedang berdiri berkumpul di tepi dinding sambil menangis dan memeluk satu sama
lain. Menurut Dilnoza, ini merupakan adat dimana sebentar lagi pengantin lelaki
dan rombongannya akan tiba lalu membawa pengantin perempuan keluar dari rumah
tersebut. Disebabkan itulah mereka kelihatan begitu sedih, kerana seperti yang
telah aku maklumkan sebelum ini, perkahwinan membuatkan pengantin perempuan
seolah-olah seperti dipisahkan daripada keluarganya dan sepenuhnya berkhidmat
kepada suami dan keluarga suaminya.
Tidak lama kemudian kedengaran
riuh dari tingkat bawah rumah tersebut menandakan kedatangan rombongan
pengantin lelaki. Aku, Azwa dan Eifa saling berpandangan apabila mendengar
suara sekumpulan lelaki seperti bernyanyi dan bersorak dari tingkat bawah.
Suara itu kemudian makin mendekat menandakan mereka telah sampai di tingkat
atas. Menakutkan dan agak kurang sedap di telinga ini. Mungkin kerana adat
Melayu yang sentiasa mementingkan sopan santun, jadi apabila melihat adat
mereka dimana rombongan pengantin lelaki bersorak dan bergembira untuk
‘mengambil’ pengantin perempuan, manakala pengantin perempuannya pula kelihatan
begitu sedih membuatkan kami terasa kurang selesa. Namun, haruslah diingat
bahawa lain tempat lain adatnya, dan kita harus menghormati adat yang mereka
amalkan, seperti peribahasa Melayu yang mengatakan ‘di mana bumi dipijak, di
situ langit dijunjung’. Cewah. Memasukkan peribahasa di dalam blog. Bukan
biasa-biasa bhai aku sekarangg. Kah!
Sesudah itu pengantin perempuan
pun dibawa menaiki kereta untuk ke rumah lain dimana jamuan makan diadakan.
Kami juga menaiki kereta Mr Samandar untuk ke rumah tersebut. Kedudukannya
tidaklah terlalu jauh. Semuanya masih di dalam kampung yang sama.
Di rumah kenduri, seperti biasa,
kehadiran kami tentunya menarik mata penduduk disitu. Ada yang hanya memandang
dan melemparkan senyuman, ada juga yang ramah ingin berbual dengan bantuan
Dilnoza dan Maftona sebagai penterjemah bahasa. Melihatkan aku dan Azwa yang
bertudung mengundang pertanyaan mengenai solat.
“She asks if you pray everyday?” soal Dilnoza sambil orang tua
disebelahnya memandang kami dengan riak wajah yang ramah. Orang tua itu memakai
gigi emas, sama seperti kebanyakan orang-orang tua yang lain menurut amatanku.
“Oh yes, of course. We do.”
Dilnoza lalu menterjemahkan
kepada orang tua tersebut. Orang tua yang kelihatan sesuai dipanggil nenek itu
lalu bercakap sesuatu kepada Dilnoza.
“You pray five times a day?” tanyanya lagi.
“Yeah, five times a day,” jawab kami sambil mengangguk-anggukkan
kepala. Tidak pasti apa yang harus diperkatakan lagi kerana perbualan tersebut begitu
terhad disebabkan masalah komunikasi. Kami perlu bercakap satu persatu untuk
memudahkan Dilnoza menterjemah kepada yang lain. Jika bercakap panjang nanti
dia pula yang lupa. Kelihatan wajah orang tua tersebut begitu kagum mendengar
jawapan kami. Mereka memandang kami seolah-olah kami begitu alim kerana solat
lima kali sehari. Kami berasa agak janggal kerana di Malaysia solat lima waktu
sehari semalam bukanlah sesuatu perkara yang asing.
Namun masakan tidak, cahaya Islam
telah lama pudar dari bumi Kazakhstan disebabkan oleh pemerintahan Rusia yang
tidak membenarkan amalan agama dipraktis di sekolah dan di tempat-tempat awam.
Jadi, lama-kelamaan pengetahuan tentang agama mulai dilupakan dan akhirnya
terhasillah masyarakat yang tidak kenal ajaran Islam hingga melihatkan kami
solat wajib lima waktu sehari pun membuatkan mereka begitu teruja, dan
memandang kami seolah-olah kami melakukan sesuatu yang begitu luar biasa.
Menurut Dilnoza, yang menunaikan
solat dalam kalangan mereka hanyalah dari kalangan orang-orang tua, bukanlah
yang muda seperti kami. Kami tidak terkejut kerana kami telah melihatnya semasa
di rumah di Shymkent dan di rumah Durdona pada malam sebelumnya.
Jika di Malaysia, kebanyakan Muslim
yang tidak menjaga solat pasti akan berasa segan untuk mengakuinya kerana kita
tahu itu adalah perbuatan yang salah. Tetapi tidak bagi mereka disana. Mereka
tidak segan silu apabila mengkhabarkan tentang itu seolah-olah solat adalah
sebuah pilihan individu. Mungkin kerana mereka tidak faham tentang kewajipan
solat bagi seorang Muslim, jadi tidak hairan apabila mereka begitu terbuka
berkata tentang itu. Situasi itu membuatkan kami terasa agak janggal kerana
seolah-olah kami pula yang pelik kerana menunaikan solat. Ah, itu merupakan pengalaman
baru yang membuka mata aku mengenai umat Islam di negara lain. Betapa kita
patut bersyukur tidak dibesarkan di negara yang melarang kita untuk
mempraktiskan agama.
Tidak lama kemudian, perhatian
kami teralih kepada pengumuman ketibaan rombongan pengantin. Lalu kami pun
berkumpul di tepi pagar tempat menjalarnya pohon anggur dan bunga-bungaan yang designnya lebih kurang sama dengan yang
ada di rumah Durdona untuk menyaksikan amalan adat yang seterusnya. Bingit
bunyi tiupan trompet dan gendang menyambut ketibaan mempelai. Pengantin
perempuan memakai dress ringkas berwarna
ungu berserta veil sebagai hiasan
kepala, manakala pengantin lelaki memakai kot. Pakaian mereka pada majlis
disebelah perempuan ini kelihatan kurang bergaya berbanding semalam dimana
pengantin perempuan itu memakai gaun kembang putih. Majlis semalam juga
disambut meriah di toykhanak manakala
hari ini hanya disambut di rumah, tetapi masih dalam suasana meriah diraikan
keluarga dan jiran tetangga.
Ketibaan mereka disambut dengan
tarian sama seperti semalam. Sedang asyik bertepuk tangan mengiringi bunyi
muzik dan tarian mereka, tiba-tiba tanganku ditarik salah seorang daripada
orang-orang tua yang sememangnya memerhatikan kami dari tadi. Dia mendorongku
untuk ke tengah-tengah ruang tersebut dimana orang lain sedang menari. Aku
berasa begitu segan untuk turut sama menari, tetapi setelah didesaknya aku pun
menurut sahaja. Aku hanya mengikut pergerakan mereka. Jadi atau tak jadi
belakang kira. Lagipun tiada sesiapa disini yang mengenali kami, fikirku.
Tambahan pula perkara ini mungkin hanya boleh dirasakan sekali seumur hidup,
jadi apa salahnya kalau kita hanya enjoy
the moment sementara berpeluang. Aku ketawa melihatkan Azwa dan Eifa yang
juga dipaksa menari. Geli hati melihat muka terpinga-pinga masing-masing. Namun,
pengalaman tersebut adalah berharga dan hingga kini kami pasti tersenyum
apabila bercerita tentangnya. Masakan tidak, bukanlah menjadi budaya asal
Melayu di Malaysia untuk menari di dalam majlis melainkan bagi penari rasmi
sahaja, dan kami juga tidak pernah ke kelab malam. Senang kata, kami memang
tidak pernah menari di khalayak ramai. Jadi sudah tentulah ianya merupakan pengalaman
yang baru bagi kami.
Selepas menari, kami dihadiahkan
tiga helai selendang setiap seorang, yang dilihat dipakai oleh kebanyakan warga
tua disana. Cara mereka menggayakannya sama seperti wanita di Malaysia pada
zaman dahulu, iaitu dengan mengikatnya di kepala dan mendedahkan leher.
Kemudian, kedua mempelai pun
diiring masuk ke dalam rumah. Tiba di hadapan pintu, terdapat satu ritual
dimana pengantin lelaki akan menepuk perlahan kepala pengantin perempuan
sebagai simbolik kekuasaan seorang suami terhadap si isteri. Again, kami berasa
kurang selesa melihat budaya itu tetapi begitulah adat mereka yang telah
dijalankan turun-temurun. Mungkin mat
saleh yang melihat kaum perempuan di Malaysia salam dan mencium tangan
suami juga merasa ketidakselesaan yang sama. Mungkin.
Sebaik sahaja pengantin melangkah
masuk ke dalam rumah, kain yang menjadi hamparan seperti ‘red carpet’ dihadapan pintu tersebut pun dipotong menjadi bahagian perca kecil lalu diberikan
kepada para tetamu perempuan sebagai blessing.
Kami dihidangkan dengan makanan
utama mereka iaitu roti, pelbagai jenis coklat dan gula-gula, air teh tentunya,
sparkling water dan pelbagai jenis
makanan yang kami tidak ketahui namanya. Makanan tersebut diletakkan di atas
alas di lantai dan tetamu duduk disekelilingnya untuk menjamu selera. Suasana
ini mengingatkanku akan suasana kenduri di kampung semasa aku masih kecil. Melalui
pemerhatianku, secara keseluruhannya Karabulak kelihatan seperti Malaysia pada
zaman dahulu semasa Islam tidak terlalu berkembang lagi dan kemajuan belum
dicapai.
Pulang dari majlis tersebut, kami
pun dibawa ke rumah Durdona untuk mengemas barang untuk pulang ke rumah
keluarga di Shymkent. Berkali-kali mereka bertanya jika kami masih mahu ke
rumah itu lagi. Kami berasa serba salah melihatkan wajah mereka yang penuh
berharap, tetapi aktiviti kami telahpun ditetapkan, jadi kami tidak mampu
berjanji apa-apa kepada mereka.
Dalam perjalanan pulang, beberapa
kali Mr. Samandar menawarkan untuk membawa kami singgah di rumahnya atau ke
kedai untuk makan tetapi terpaksa kami tolak kerana keletihan selain daripada
harus mengikuti jadual yang telah ditetapkan. Sebenarnya, jadual tersebut
tidakla begitu strict, boleh saja
kami mengubah mengikut keselesaan, tetapi sudah tentu kami tidak mahu
melepaskan peluang melawat kawasan sekitar Shymkent pula seperti yang
dijanjikan Aika. Mr. Samandar bersungguh-sungguh bertanya jika kami mahukan
apa-apa, lalu aku meminta bantuannya untuk membeli kad sim Kazakhstan untuk
memudahkan kami menggunakan kemudahan internet kerana kami hanya menggunakan
WiFi yang ada di rumah Ersultan. Terserlah riak wajahnya yang begitu gembira
dapat melakukan sesuatu untuk kami, tetamunya. Bersungguh kami mahu membayar
tetapi dia juga bersungguh menolak wang kami. Akhirnya kami pun mengalah demi
menghormati budaya mereka yang sangat memuliakan tetamu.
Karabulak, till we meet again.
No comments:
Post a Comment