>

Sunday, 12 August 2018

14 Days in Kazakhstan - Pengantin yang muram, susu kuda dan sedikit keinsafan


Bab 6

Perjalanan dari rumah kami di Shymkent ke Karabulak mengambil masa kira-kira setengah jam. Kami sedang dalam perjalanan untuk menghadiri sebuah majlis perkahwinan kaum Uzbek di sana. Seorang lelaki bernama Mr Samandar yang juga merupakan antara orang yang terlibat di dalam program ini lah yang menjemput kami di rumah keluarga Ersul. Buat pertama kalinya Aika tidak mengikut kami kerana sepanjang di Karabulak tanggungjawab menjaga kami jatuh kepada Mr Samandar.

Bersama Mr Samandar, ada seorang remaja lelaki yang aku sedari awal asyik tersengih-sengih kepada kami. Aku agak terganggu melihatnya, tetapi dalam masa yang sama terasa geli hati juga.
What’s your name?” remaja tadi memulakan bicara sambil masih tersenyum menampakkan giginya. Dia berada di kerusi sebelah pemandu, manakala Mr Samandar memandu kereta.

Ihsan. And this is Azwa and Eifa. And you?,” balasku menyambut sapaannya.

My name is Shakh. I am your translator. Do you like it here?” dia bertanya lagi.

Barulah aku perasan akan sentiasa ada seorang translator yang akan mengikuti kami kemana sahaja. Ya tak ya juga, kebanyakan penduduk di sini memang tidak boleh berbahasa Inggeris. Hal ini berlaku kerana Kazakhstan telah berada di bawah pemerintahan Rusia (Soviet Union) selama 55 tahun, jadi bahasa yang digunakan untuk urusan rasmi mereka adalah bahasa Rusia jika tidak bahasa Kazakhstan sendiri.

Yes, the weather here is different than in Malaysia. So does the culture and food. So yeah we love to experience new things,” jawab Azwa bagi menjawab pertanyaannya.

Eifa kulihat lebih banyak mendiamkan diri, mungkin kerana keletihan akibat program yang berjalan sejak pagi lagi.

Dan perjalanan kami ke Karabulak pun terisi dengan perbualan ringkas bersama Shakh. Ternyata dia jauh lebih muda daripada kami, iaitu 18 tahun dan kelihatan begitu teruja menerima kami sebagai tetamu. Mungkin kerana itu dia tidak dapat mengawal senyumnya. Tersengih-sengih macam kerang busuk dari tempat duduknya.

Mr Samandar dan Shakh merupakan kaum Uzbekistan yang tinggal di Kazakhstan. Jika dilihat dari segi wajah, kaum Uzbek lebih menyerupai Arab berbanding Kazakh yang berwajah lebih kepada Korea atau China.

Sepanjang perjalanan itu kami menyaksikan keindahan langit Shymkent yang perlahan-lahan bertukar dari warna biru menjadi oren. Waktu menunjukkan hampir pukul lapan setengah malam. Waktu siang yang lebih panjang membuatkan malam sedikit lewat menjelang. Akhirnya kami tiba di sebuah bangunan besar seperti dewan yang telah dihias indah dengan hamparan tikar merah di atas tangga masuknya berserta lampu-lampu dipasang menandakan sebuah keraian sedang dijalankan.Toykhanak; itulah nama yang dipanggil untuk dewan sebegini yang digunakan ketika keraian seperti majlis perkahwinan atau majlis berkhatan.

Kehadiran kami disambut mesra oleh seorang gadis berwajah seakan-akan orang Hawaii menurut pengamatanku. Matanya tidak terlalu sepet tetapi tidak juga bulat, dan kulitnya berwarna coklat. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Maftona, dan disebelahnya adalah seorang wanita berwajah Uzbek yang bernama Dilnoza. Mereka menyapa kami dengan bahasa Inggeris yang sangat baik dan mengiringi kami masuk ke dalam toykhanak. Kedatangan kami menjadi perhatian beratus-ratus pasang mata. Mungkin kerana penampilan aku dan Azwa yang bertudung yang memang jarang dapat dilihat disana, atau mungkin juga kerana kecantikan Eifa yang sentiasa mendapat perhatian kemana sahaja kami pergi. 

Kami ditempatkan bersama Maftona dan Dilnoza disebuah meja bulat yang berhampiran dengan pentas dimana terdapat hiasan seolah-olah seperti pelamin. Pengantin tiba tidak lama kemudian, dengan persembahan tarian daripada golongan tua mengiringi pengantin masuk. Selesai tarian daripada orang-orang tua, giliran pasangan pengantin dan para pengapit pula menari memeriahkan suasana. Aku lihat pengantin perempuan kelihatan muram dan tidak ceria, manakala pengantin lelaki dan para pengapitnya menari dengan wajah sangat riang, seolah-olah meraikan kejayaan kerana dapat mengahwini pengantin perempuannya.

Terlintas difikiranku, adakah pengantin perempuan tersebut dipaksa untuk berkahwin. Dilnoza yang seolah-olah dapat membaca fikiranku terus berkata adalah menjadi tradisi mereka untuk pengantin perempuan berwajah sedih kerana akan meninggalkan keluarganya dan memulakan hidup baru bersama suaminya. Ini adalah kerana selepas kahwin, seorang anak perempuan akan menjadi hak milik penuh suaminya, dan apabila pulang kerumah keluarganya sendiri pun dia akan dilayan seperti tetamu dan selalunya tidak akan tidur dirumah keluarganya. Hanya datang untuk melawat dan kemudiannya pulang. Oh, patutlah. Siapa pun akan kelihatan begitu jika dipisahkan selamanya dari keluarga sendiri.

Di majlis ini juga kami telah mendapat pengalaman baru yang tak pernah kami sangka kami akan lakukannya; iaitu merasa daging dan susu kuda!

Sebelum kedatangan kami kesini lagi aku telah membuat sedikit research mengenai makanan tradisional Kazakhstan, dan memang aku telah menjangkakan akan dihidangkan daging kuda disini. Jadi, aku telah sedikit sebanyak bersedia dari segi mental. Namun, aku hanya makan satu potongan sekadar untuk merasainya dan yes, kini aku sudah boleh mengatakan kepada dunia bahawa aku telah merasa daging kuda! Hehe. Rasanya agak tawar menurut lidahku. Namun, bagi susu kuda pula, aku hanya mampu menyisip beberapa kali sahaja kerana rasanya yang terlalu masam dan seperti bergas. Setelah pulang ke Malaysia barulah kami tahu yang susu kuda diperam terlebih dahulu sebelum diminum, menjadikannya mungkin beralkohol (kena re-check).

Malam itu kami dibawa menginap dirumah sahabat Maftona yang bernama Durdona. Seperti rumah Ersul di Shymkent, rumah di Karabulak juga mempunyai gate besar yang menutup keseluruhan rumah daripada pandangan luar. Masuk sahaja ke dalam kawasan gate, terserlah binaan rumah itu yang panjang dan mempunyai banyak pintu. Suasana gelap tidak membolehkan kami untuk melihat keadaan sekeliling dengan lebih jelas.

Kami kemudiaannya dibawa masuk melalui salah sebuah pintu itu. Rekaan bentuk di dalam rumah itu unik, tidak seperti rumah kebanyakan di Malaysia yang sama seperti rumah Ersul. Rumah ini mempunyai rekaan tradisional, dimana terdapat banyak ruang dan disetiap ruang terdapat pintu yang menghubungkan ruang itu dengan ruang yang lain. Setiap ruang mempunyai sekurang-kurangnya dua pintu bagi menghubungkannya dengan dua bahagian rumah yang lain. Jadi, kelihatan seperti rumah tersebut penuh dengan ruang dan pintu. Kami dibawa terus ke sebuah ruang yang telah siap dihampar toto.

Maftona, Durdona, adik-adik dan sepupunya yang kesemuanya perempuan datang memenuhi ruang tersebut. Kesemua gadis tersebut berumur sekitar belasan tahun dan kelihatan sangat teruja menerima kunjungan kami ke rumah mereka. Mereka bergilir-gilir bertanya jika kami memerlukan apa-apa, atau sekiranya kami tidak selesa. Berkali-kali kami perlu meyakinkan mereka bahawa semuanya sudah cukup selesa. Kemudian barulah mereka duduk dan mula berbual sambil mengeluarkan album-album lama mereka. Walapun keletihan, kami cuba sedaya upaya menunjukkan muka gembira melayani mereka. Mereka sangat hairan apabila aku mengatakan bahawa tidak pernah melihat salji. Berkali-kali mereka bertanya dengan mata terbeliak tidak percaya. Dalam hatiku berkata, mereka pula pasti akan begitu teruja jika melihat pantai, kerana Kazakhstan terletak di tengah-tengah benua menjadikannya tidak mempunyai pantai. Nenek, kakak, dan ibu bapa mereka juga datang untuk beramah mesra dengan kami pada malam tersebut.

Selain itu, antara perkara yang menambahkan keterujaan mereka adalah apabila melihat kami menunaikan solat. Bermula dari wuduk hingga selesai solat semuanya diperhatikan dengan teliti. Menurut Durdona, ini merupakan kali pertama mereka melihat sendiri bagaimana orang menunaikan solat. Walaupun Kazakhstan merupakan sebuah negara yang majoriti penduduknya adalah Muslim, namun disebabkan sistem pemerintahan Rusia yang tidak membenarkan sebarang agama dipraktis sebagai agama rasmi membuatkan mereka tidak pernah belajar mata pelajaran agama di sekolah. Jadi, lama-kelamaan pengetahuan agama menjadi semakin berkurangan kerana tidak dipraktis dan akhirnya terhasillah generasi mereka yang langsung tidak tahu cara untuk solat. Menurut mereka, mereka hanya tahu mengenai solat menerusi bacaan sendiri di internet, dan baru mahu belajar bagaimana untuk solat.

Baru aku sedar betapa beruntungnya kita dapat mempraktiskan agama dan kepercayaan masing-masing dengan bebas di Malaysia. Aku teringat cerita Prof. Azmuddin dimana para guru di Kazakhstan hanya menunaikan solat dengan sembunyi dan mengambil risiko dikenakan tindakan jika aktiviti mereka diketahui. Aku teringat juga Fynn Jamal yang berhenti daripada mengajar di sekolah di Kazakhstan kerana peraturan sekolah yang tidak membenarkannya bertudung (aku rasa macam pernah baca, tapi tak 100% sure – kena re-check). Begitu mudah kita untuk beribadat di Malaysia, itu pun masih terasa payah. Aku berasa agak terkilan kerana tidak membawa telekung untuk ditinggalkan kepada mereka sebagai hadiah yang mungkin boleh memberi sedikit kekuatan untuk mereka mula menunaikan solat.

Malam itu kami tidur di atas toto yang dibentangkan diruang tamu, berserta tingkap yang terbuka seperti yang dipinta kami sendiri kerana angin sepoi-sepoi dari luar terasa begitu mendamaikan. Soal keselamatan tidak perlu dirisaukan kerana kawasan tersebut memang tidak bahaya menurut mereka. Begitu mudah kami melelapkan mata setelah menjalani hari yang panjang.


Klik kami untuk baca bab-bab yang sebelumnya :

No comments:

Post a Comment