>

Sunday, 25 March 2018

14 Days in Kazakhstan - Transit at Almaty


Bab 2

Kami tiba di Almaty International Airport pada jam 4 petang waktu Almaty, manakala 6 petang jam Malaysia. Disebabkan tiada direct flight dari Kuala Lumpur ke Shymkent, jadi kami terpaksa transit di Almaty sebelum flight seterusnya ke Shymkent pada jam 9 malam. Turun sahaja dari perut Air Astana, mata kami dijamu dengan keindahan pemandangan gunung-ganang yang terbentang luas disitu. Kemudian, kami diarahkan untuk menaiki shuttle bas yang telah sedia menunggu penumpang. Kerana jarak yang agak jauh diantara tempat pendaratan kapal terbang dengan balai ketibaan, jadi khidmat shuttle bas ini disediakan untuk kemudahan dan keselesaan penumpang. Suhu semestinya lebih sejuk berbanding Malaysia namun tidaklah terlalu berbeza.

Semasa di dalam shuttle bas tersebut, kami bertemu sekali lagi dengan Uncle Cina peramah yang kami jumpa semasa di boarding area di KLIA tadi. Dia menunjukkan sekeping kertas bersaiz A5 yang perlu kami isi dan simpan sepanjang keberadaan kami di Kazakhstan. Katanya kami perlu meminta cop pengesahan daripada pihak yang berurusan dengan kami disini iaitu pihak universiti dan kertas tersebut akan diminta oleh pegawai bertugas di lapangan terbang sebaik sahaja kami akan pulang ke Malaysia nanti. Kertas tersebut telah diberikan oleh pramugari sewaktu di dalam pesawat tanpa kami mengetahui fungsi dan kepentingannya. Malah lebih merisaukan lagi apabila Eifa memberitahu bahawa dia tidak mendapat kertas tersebut.

“Maybe sebab muka you macam orang sini. That’s why dia tak bagi. Tak apa, dekat dalam nanti ada lagi,” ujar Uncle Cina peramah tersebut membuatkan kami berasa lega sedikit.

Sebaik sahaja memasuki balai ketibaan, kami terkejut melihatkan tulisan yang terpapar di papan-papan tanda di sekitar lapangan terbang tersebut; huruf utama yang digunakan adalah menggunakan tulisan Cyrillic dan dibawahnya terdapat terjemahan dalam bahasa Inggeris. Kami confuse, tidak pasti arah mana yang harus dituju. Kemudian kami terlihat sebuah meja bulat dimana kertas penting yang dikatakan Uncle Cina tadi kelihatan bersepah-sepah.

Di dalam kertas tersebut terdapat cuma sedikit tulisan bahasa Inggeris, selebihnya di dalam huruf Cyrillic. Kami hanya dapat meneka beberapa bahagian seperti ‘Name’ dan ‘Address’ seingatku. Selebihnya tidak kami ketahui apa yang dimahukan. Lalu Eifa bertanya kepada seorang perempuan berwajah Barat yang juga sedang mengisi kertas tersebut.

I have no idea, I don’t speak Russian,” ujarnya tidak membantu.

Disebabkan Kazakhstan dihuni oleh lebih seratus jenis kaum, jadi agak sukar untuk kami meneka adakah seseorang itu warganegara Kazakhstan atau orang luar seperti kami. Ada diantara mereka yang berwajah seperti kaum Tibet, Korea dan Cina dengan mata sepet dan berkulit cerah, dan ada juga yang berwajah Barat seperti orang Rusia. Uncle Cina peramah juga tidak kelihatan dimana-mana kawasan di situ untuk kami meminta bantuan.

Akhirnya kami mengambil keputusan untuk simpan sahaja kertas tersebut dengan selamat dan teruskan urusan kami untuk check-in ke Shymkent. Lalu kami pergi ke satu barisan panjang dan bertanya kepada seorang perempuan tinggi berwajah Barat adakah kami perlu beratur di barisan itu untuk ke Shymkent selepas ini dan dia berkata ya. Jadi kami pun beratur di celah kesesakan manusia yang kebanyakannya tinggi-tinggi belaka, membuatkan kami terasa kerdil.

Lebih setengah jam beratur, pelbagai pengumuman kedengaran dari corong pembesar tetapi disebabkan semuanya di dalam bahasa Rusia jadi kami tidak dapat memahami apa yang diperkatakan. Kami hanya bergantung kepercayaan kepada wanita berwajah Barat tadi. Semakin lama barisan menjadi semakin pendek dan sehampirnya kami di kaunter baru lah kami tahu bahawa kami telah salah beratur. Mungkin wanita Barat tadi tidak begitu faham akan urusan kami dan telah memberi info yang salah, kami bersangka baik kerana wanita tadi juga kelihatan jujur. Lalu kami pun berpindah ke kaunter lain dengan hanya meneka dan berpandukan instinct dan logik.

Kelihatan di dalam setiap kaunter yang berbentuk kotak dan bertutup itu terdapat seorang perkerja yang menjaganya. Aku beratur di belakang Eifa, namun pekerja kaunter tersebut mengatakan sesuatu di dalam bahasa Rusia sambil menunjuk-nunjuk kearah belakangnya. Wanita itu kelihatan garang dan riak wajahnya tidak mesra. Aku cuba berkomunikasi dengannya menggunakan bahasa Inggeris namun dia tidak memahami apa yang ku cuba perkatakan. Lalu aku hanya pergi kearah yang dia tunjuki dan manakala Azwa pula ke arah lain yang diarahkan pekerja lain. Lantas aku teringatkan pesan ayah Eifa, “Jangan berpisah no matter what! Stay together!”. Namun semuanya bergantung kepada situasi. Jadi kami menurut sahaja arahan yang diberikan petugas kaunter tersebut walau hanya dalam bentuk bahasa badan. Sepanjang aku berjalan kearah kaunter lain mengikuti seorang pekerja lelaki, aku mendapati kesemua kaunter tersebut kosong. Oh, mungkin pekerja kaunter wanita yang garang tadi tidak mahu kami beratur kerana kaunter lain juga memang kosong, aku menelah.

Aku ke kaunter pertama dan menyerahkan passport dan kertas kecil yang telah ku isi sebentar tadi tanpa dipinta. “Fikir logik. Takkan dia nak minta resepi tomyam dari aku pula di lapangan terbang Almaty ini,” aku bermonolog di dalam hati. Tiba-tiba pekerja kaunter tersebut mengetuk cermin penghadang di antara kami dan menghayun-hayunkan tangannya seolah menghalau aku. Aku terpaku cuba memahami apa yang dia mahu sampaikan. Risau juga kerana passportku masih ditangannya. Semua perlu tahu bahawa apabila berada di luar negara, passport seharusnya dijaga seperti nyawa.
Kemudian dia menunjuk-nunjuk kearah sesuatu di cermin penghadang tersebut. Barulah aku faham bahawa dia ingin mengambil gambarku, dan menyuruh aku berdiri kebelakang sedikit untuk tujuan itu.

You guys should really learn English, lah. Susah kalau pekerja airport sendiri pun tak boleh basic English,” rungutku di dalam hati.

Selesai urusanku disitu, aku mencari Azwa dan Eifa. Risau berpisah dalam jangka masa yang lama di tempat yang begitu asing ditambah pula bila memikirkan jumlah wang ringgit yang kami bawa agak besar. Apabila berjumpa dengan mereka, masing-masing meluahkan rasa terkejut yang sama denganku apabila mengetahui pekerja di lapangan terbang juga tidak pandai berbahasa Inggeris. Baru ku sedar semasa di dalam pesawat tadi juga para pramugarinya juga tidak begitu mahir berbahasa Inggeris. Contohnya sewaktu aku meminta plain water, mereka telah memberikanku sparkling water iaitu sejenis air kosong tidak berperisa tetapi bergas. Pada mulanya aku terkejut kerana menyangkakan aku telah terminum air yang tidak halal, dengan muka panik dan mulut yang dipenuhi air, aku membuat isyarat mata kepada Azwa disebelahku. Dia juga terdiam. Akhirnya aku meluahkan kembali air tersebut kedalam cawan plastikku. Bukan tak pernah aku minum sparkling water, tetapi yang selalu aku minum di Malaysia semuanya berperisa. Itu merupakan kali pertama aku merasa yang betul-betul plain. Kerana itulah aku agak was-was.

Kemudiannya kami terus berjalan di sekitar airport tersebut mencari tempat untuk check-in. Kami cuba bertanya pada orang berwajah local menggunakan bahasa Inggeris, tetapi seperti yang kami sedia maklum, kebanyakan daripada mereka memang tidak mahir atau ada juga yang tidak tahu langsung berbahasa Inggeris. Akhirnya kami hanya mengikut naluri dan nasib lalu beratur di satu tempat yang terdapat mesin pengimbas barangan. Pada mulanya aku agak musykil dengan tempat check-in tersebut kerana ia kelihatan terlalu simple. Hanya terdapat mesin pengimbas barangan dan beberapa buah meja dimana penumpang beratur untuk disemak passport dan tiket, tidak seperti yang aku bayangkan iaitu kaunter dengan skrin LED dengan signage yang bersesuaian seperti di KLIA. Malah orang ramai juga kelihatan lalu-lalang disitu membuatkan sistemnya kelihatan tidak tersusun rapi. Namun disebabkan Eifa dan Azwa yakin membuatkan aku jadi akur mengikut. Mujur keputusan yang dibuat adalah betul walaupun hanya dibuat secara tekaan. Aku juga bersyukur kerana kami telah mendapat tiket Almaty - Shymkent semasa di KLIA lagi. Urusan kami pasti lebih susah sekiranya harus menguruskan semuanya disini.

Selesai checked-in kami pun menunggu di ruang yang disediakan. Ketika itulah tiba-tiba entah dari mana datang Uncle Cina peramah tadi lalu menunjukkan kami skrin LED yang tertulis jadual penerbangan dan waktu boarding gate dibuka. Dia juga menunjukkan pintu untuk ke boarding area. Kami berasa sangat terharu dan berterima kasih di atas kesudiannya membantu kami sedari awal penerbangan lagi. Tanpa bantuan Uncle Cina tersebut mungkin urusan kami akan bertambah sukar disebabkan penggunaan tulisan Cyrillic dan language barrier.

Sedang kami leka berbual tentang perjalanan tadi, aku perasan ada seorang wanita di kerusi hadapan sedang memerhatikan kami. Mungkin dia juga sedar tingkah lakunya disedari aku, akhirnya dia bersuara memperkenalkan diri. Diana, seorang gadis warga Kazakhstan yang bekerja di Malaysia. Wajahnya cantik seakan wanita Rusia. Menurutnya dia juga sedang menunggu pesawat untuk ke Shymkent iaitu kampungnya sendiri. Dia menegur kami mungkin selepas mengamati wajah kami dan mendengar perbualan kami di dalam Bahasa Malaysia. Apabila kami memberitahu akan kedatangan kami ke Shymkent untuk menyertai program Summer School di SKSU, riak wajahnya menunjukkan hairan yang teramat sangat.

Why Shymkent? What are you gonna do in Shymkent?

Soalan yang membuatkan kami termangu sejenak, seteruk manakah Shymkent sampai begitu sekali reaksi orang setiap kali kami memberitahu akan tujuan kedatangan kami?




No comments:

Post a Comment