>

Sunday 23 September 2018

14 Days in Kazakhstan - Jalan pagi dan memerah susu lembu


Bab 7

Hari kami bermula begitu awal. Sebaik membuka mata, kami terus diajak melawat kawasan rumah Durdona. Dengan masih berbaju tidur kami pun bersiar-siar di kawasan disekitar dengan mereka. Sama juga seperti mereka; semuanya masih berbaju tidur. Mungkin tiada siapa yang kisah di kampung itu. Atau mungkin mereka memang tidak peduli dengan pandangan orang. Jelas kelihatan riak gembira dan tidak sabar di wajah mereka untuk membawa tiga orang tetamu ini melihat kawasan rumah mereka. Disebabkan semalam sewaktu tiba semuanya gelap, jadi pagi ini apabila melihatkan suasana sebenar rumah tersebut aku berasa sangat teruja; langsung tidak seperti yang aku bayangkan!

Berhadapan pintu yang kami masuki semalam, terdapat sebuah pondok kecil yang dipenuhi bantal-bantal dan kain yang dibuat sebagai ‘dinding’ pondok. Menurut Durdona, pada musim panas nenek dan adik-adik lelakinya akan tidur di pondok itu kerana udara yang lebih nyaman berbanding di dalam rumah. Soal keselamatan tidak menjadi masalah disebabkan kawasan rumah mereka yang sememangnya ditutupi pagar besar. Terdapat pohon anggur yang menjalar menutupi bahagian tepi dan atas pondok tersebut. Anggur-anggur merah yang berjuntaian itu telah sedia untuk dimakan. Aku hampir sahaja memetik buah anggur itu tetapi pantas dihalang Durdona kerana katanya takut sakit perut disebabkan belum sarapan. Aku mahu membantah kerana tak pernah pula aku sakit perut disebabkan makan anggur dengan perut kosong. Tapi sebagai tetamu, aku menurut saja. Di bahagian tepi pondok itu pula terdapat sebuah kebun kecil dimana mereka menanam labu, cili, tomato, timun dan sedikit bunga-bungaan. Dengan rumah yang unik dan kebun dikeliling rumah, rasa macam dalam English movies yang berlatarbelakangkan tahun 40-an sangat.

Setelah itu mereka pun membawa kami ke kandang dibelakang rumah. Kandang yang bersaiz lebih kurang dua bilik darjah sekolah itu mempunyai empat ekor lembu dan lebih kurang enam ekor kambing. Juga terdapat longgokan jerami seperti yang selalu ku lihat di dalam filem Inggeris yang berlatar belakangkan kawasan kampung. Aku berasa sungguh teruja, tambahan pula apabila melihat lembu yang berwarna hitam dan putih, iaitu lembu New Zealand bak kata Azwa. Nenek mereka bertanya jika kami hendak memerah susu lembu itu. Aku terpinga-pinga. Teringin sekali, tapi geli juga nak pegang lembu, apatah lagi kantung susunya. Haha. Azwa juga kelihatan berkira-kira sepertiku. Cuma Eifa yang bersedia. Sekarang, apabila menulis semula pengalaman ini, aku berasa menyesal kerana tidak mengambil peluang yang bukan selalu dapat tu.

Kemudiannya mereka membawa kami berjalan disekitar kawasan kampung mereka. Semua rumah disitu mempunyai design yang sama dengan rumah yang kami duduki; dengan gate besar yang menutupi kawasan rumah, warna cat rumah yang pudar dengan dinding yang sesetengahnya tidak disimen. Ditambah pula dengan jalan berdebu dan kereta model lama membuatkan kami terasa seperti memasuki pekan Cowboy. Cuaca yang agak berangin pula membuatkan dalam hidungku berasa begitu lapang dan sakit. Terasa seperti terlalu banyak angin yang memasuki rongga hidungku.

Tidak jauh dari rumah mereka terdapat sebuah kolej yang menurut mereka merupakan satu-satunya kolej di Karabulak, iaitu D.Konaev Agricultural College. Kolej ini tidak kelihatan begitu lama dari sudut binaannya, tetapi setelah double confirm dengan Maftona, ya, dia dengan yakin mengatakan usia kolej ini telahpun mencecah 200 tahun. Mungkin mereka telah mengubahsuai bangunan tersebut, fikirku. Halamannya dihiasi indah dengan bunga-bungaan yang biasa ku lihat di Malaysia, tetapi aku lebih menghargai kecantikannya semasa disana. Mungkin disebabkan gaya penanaman disana yang membuatkanku terasa seperti berada di taman bunga kerana kawasan yang luas, atau mungkin kerana aku sedang feeling berada di oversea. Jadi semuanya kelihatan menarik. Hehe.

Jalan dan terus berjalan, kami pun tiba di sebuah kawasan yang menurut mereka adalah pasar pagi. Namun pasar itu tidak dibuka pada hari itu. Sama sahaja dengan gaya binaan kebanyakan pasar di Malaysia, yang berbeza hanyalah luas kawasannya yang jauh lebih besar. Apa yang menariknya disitu adalah menurut mereka di pasar pagi ini bukan hanya makanan dan pakaian yang dijual, malah binatang hidup juga dijual di pasar. Lembu, kambing dan pelbagai binatang lagi semua akan dibawa untuk dijual. Dapat ku bayangkan suasana hiruk-pikuk pasar tersebut dengan suara penjual dan pembeli tawar-menawar barang dagangan, disertai pula dengan riuh bunyi binatang. Interesting.

Berhadapan dengan pasar pagi itu pula adalah sebuah kedai menjual pinggan mangkuk yang merupakan kedai keluarga mereka sendiri. Kedainya hanyalah sebesar lebih kurang separuh bilik darjah sekolah rendah di Malaysia. Ku lihat banyak terdapat set piala, iaitu mangkuk khas untuk minum teh bagi masyarakat Kazakhstan. Terdetik juga di dalam hatiku untuk membeli set piala itu sebagai kenangan dan juga untuk membuatkan mereka gembira, kerana mereka kelihatan begitu bangga apabila menceritakan segalanya mengenai kampung mereka kepada kami. Tetapi niat tersebut hanya tinggal niat mengingatkan luggage ku yang memang penuh.

Sesudah itu, kami pun berjalan pulang ke rumah Durdona kembali. Seperti biasa, kehadiran kami mendapat perhatian penduduk di kawasan sekitar itu; perkara biasa bagi pelancong asing terutama apabila datang ke kawasan bukan perlancongan seperti kampung tersebut. Kepulangan kami disambut dengan hidangan sarapan yang meriah sama seperti ketika berada di Shymkent. Namun yang lebih istimewa kali ini adalah air kopi susu yang dibancuh menggunakan susu lembu yang telah diperah Eifa awal tadi. Teruja bercampur risau – kerana itu merupakan pertama kali dalam hidupku merasai susu yang ‘sesegar’ itu. Mujur rasanya normal saja. Bimbang aku terbuat reaksi muka yang pelik kalau susu itu terasa pelik. Bimbang mengecilkan hati tuan rumah.

Sesudahnya kami pun mandi dan bersiap-siap untuk ke majlis perkahwinan yang kami hadiri semalam, tetapi kali ini adalah bagi sebelah pihak pengantin perempuan pula.


Bab 1  Bab 2  Bab 3  Bab 4  Bab 5  Bab 6

No comments:

Post a Comment